Madu kepada pelakon, Miera Leyana iaitu Adibah Abdul Mutalib memaklumkan bahawa dia tetap mahu mempertahankan rumah tangga bersama suami, Rosland Othman.
Isteri pertama Rosland itu berkata, dia yakin berada di pihak yang benar dan berharap rumah tangganya dapat diselamatkan walaupun hubungan mereka bermasalah sejak tahun 2021.
“Saya yakin saya tak bersalah. Sebab tu saya tak nak bercerai. Talak memang terletak di tangan suami, tapi saya harap rumah tangga saya dapat diselamatkan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Adibah memaklumkan suaminya juga sudah lama tidak pulang ke rumah selepas berkahwin dengan Miera pada Julai 2020.
Bukan itu sahaja, dia juga meluahkan rasa sedih apabila suaminya enggan berbincang mengenai masalah rumah tangga mereka sehingga perlu dibawa ke mahkamah.
“Saya pun tak tahu dia failkan cerai. Memang sedih lepas 28 tahun kahwin akhirnya jadi macam ni,” kata Adibah dalam nada kecewa.
Malah, Adibah berkata suaminya turut mengambil anak keempat mereka, Nur Anisa tanpa sebarang pemberitahuan dan kini tinggal bersama suami.
“Dia ambil anak dekat sekolah dan sejak itu, anak kami terus tinggal dengannya. Dia masih berstatus suami saya, jadi tak ada masalah untuk dia jaga anak,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia berharap suaminya akan dapat menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik kepada anak-anak mereka. – JURNAL