Baru-baru ini tular video seorang wanita mendakwa rempah jenama McCormick yang terdapat di pasaran mengandungi babi.
Wanita itu meminta orang ramai berhati-hati semasa membeli produk tersebut kerana menurutnya mengandungi unsur yang haram bagi orang Islam.
Bagaimanapun wanita yang berkongsi video tersebut di laman sosial TikTok mendapat kecaman netizen dan dianggap dengan sengaja mencetuskan kekeliruan.
Semuanya gara-gara dia tersalah membaca dan memahami label dalam bahasa Inggeris yang tertera pada botol rempah.
Apa yang tertera di botol rempah adalah ‘USE ON’ bermaksud ‘guna pada’ dan ‘USE IN’ iaitu ‘guna dalam’ yang merupakan cadangan untuk penggunaan rempah itu, bukannya bermaksud kandungan di dalam rempah itu.
Dakwaan seumpama ini dikategorikan sebagai maklumat salah (misinformation), iaitu informasi yang tidak disengajakan seperti salah kapsyen, terjemahan atau maklumat jenis satira yang dianggap serius oleh khalayak.
Kesimpulannya, rempah jenama McCormick tidak mengandungi babi dan pemegang sijil halal Da’wah Islamic Council of The Philippines (IDCP) yang merupakan badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). – JURNAL