Seorang remaja berusia 15 tahun dikenali sebagai Dinna Ismalaily Suhaidi, 15, atau Lily dirayu pulang ke rumah selepas keluar dari kediaman keluarganya sejak dua minggu lalu.
Ibu kepada remaja terbabit, Norhayati Bakri, turut berkongsi mengenai kehilangan anaknya itu menerusi platform media sosial Facebook, Instagram dan TikTok.
Wanita itu merayu anaknya, Lily, supaya pulang ke rumah mereka di Kampung Ilham, Jalan Kahang Timur, Kluang, Johor.
“Baliklah kak Lily. Mama papa risau. Tak tahu kakak duduk mana… makan apa. Tiada siapa pun yang marahkan kakak,” rayunya.
Difahamkan, kali terakhir remaja itu dilihat di sebuah stesen minyak di Renggam Jaya, Simpang Renggam dan sejak 27 Ogos lalu, Norhayati aktif berkongsi maklumat mengenai anaknya di media sosial.
Perkongsiannya di Facebook dan Instagram Kluang Hari Ini turut tular, selain video TikTok dimuat naik kakak Lily, Dliesa Irdnaa yang mengundang pilu masyarakat.
@ceokicap_ #fypシ #allahuakbar #fypシ゚viral #wavehitam🖤🔥 #makayahtersayang ♬ bunyi asal – CEO KICAP
Video itu memaparkan kesungguhan ibu bapanya mencari Lily tanpa kenal erti penat lelah, malah sanggup berulang-alik dari satu bandar ke bandar untuk mengesan remaja itu.
“Pada 31 Ogos lalu genap seminggu kau (Lily) hilangkan diri dari rumah. Masih tiada khabar berita, tiada jawapan dan petunjuk yang masih samar. Laman Simpang Renggam jadi saksi betapa gilanya mama papa cari kau tanpa ada kata putus asa sekalipun.
“Bermula pagi hingga malam, dari Kluang ke Simpang Renggam. Kami sekeluarga ulang-alik tiada arah tujuan cari kau Lily. Kami rela berpanas hujan, berlapar hanya untuk cari kau saja Lily.
“Rela lupakan mengenai kehidupan kami, semata untuk kau balik ke rumah dalam keadaan selamat. Baliklah Lily, mama papa tak pernah putus dia supaya kau balik dalam keadaan selamat,” kongsi Dliesa Irdnaa.
Menurutnya, ibu bapanya sanggup berulang-alik dari Kluang ke Simpang Renggam selain menjejaki ladang kelapa sawit di Kulai semata-mata untuk mencari Lily.
Dalam perkongsian lain, Dliesa turut menunjukkan bagaimana dia bersama kedua ibu bapanya mencari Lily hanya berpandukan maklumat diberikan orang awam.
“Kami sanggup dari Kluang ke Kulai dengan hanya menaiki motosikal untuk mencari Lily. Dapat info orang awam terus gerak tanpa cakap banyak, sebab kami tidak tidak punya sebarang petunjuk.
“Tak dapat cari di Kulai, kami patah semula ke Simpang Renggam untuk pastikan keberadaan Lily. Mama insan yang paling setia menunggu Lily pulang. Semoga Allah gerakkan hati Lily untuk balik. Kasihanlah pada mama dan papa.
“Pada malam Merdeka mama dan Papa sanggup tunggu sampai jam 4 pagi di Laman Simpang Renggam semata-mata untuk Lily. Sanggup tahan mengantuk, lapar untuk Lily,” katanya.
Menurutnya, sudah tiga laporan polis dibuat namun tiada perkembangan lanjut.
Keluarga itu berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Lily supaya menghubungi ahli keluarga di talian 019-3188075. – JURNAL