Aksi dua pemuda di Besut menyuap roti ke mulut selepas mencecahnya ke dalam air bah ditegur seorang doktor.
Pengerusi MedTweetMy, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin menerusi hantaran Twitter, berpesan kepada orang ramai supaya tidak meniru perbuatan dua pemuda tersebut.
Katanya lagi, perbuatan tersebut dibimbangi akan memudaratkan kesihatan.
“Saya ternampak di TikTok ada yang cecah roti dengan air banjir. Mohon untuk tidak diikuti. Air banjir adalah kotor. Penyakit seperti taun dan keracunan makanan boleh berlaku.
“Saya doakan mangsa tersebut dapat diselamatkan dan dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” ujarnya.
Di ruangan komen, ramai yang menyokong ciapan Dr Khairul dan mengecam tindakan kedua-dua pemuda terbabit yang dianggap menjijikkan.
“Mereka ni tak sedar ke tahi kucing, tahi lembu, silap-silap tahi manusia pun bercampur dengan air banjir tu. Adoi, geli la!
“Bangang! Demi konten katanya. Pelik-pelik budak zaman sekarang ni,” memetik komen pengguna Twitter.
Video tersebut meraih sebanyak 186,700 jumlah tontonan sejak ia dikongsikan. – JURNAL