Warganet menyokong penuh tindakan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi, Johor yang mengarahkan restoran di sebuah pusat beli-belah di bandar itu ditutup serta-merta selepas tular video seorang kanak-kanak lelaki membuang air kecil di bahagian dapur memasak.
Tinjauan JURNAL di laman sosial mendapati, ada segelintir warganet mengakui pernah mengunjungi premis terbabit.
“Ya, memang kotor pun. Makanan selalu terdedah. Tak hairanlah kalau jabatan kesihatan jumpa telur lalat di tempat makanan!” tulis seorang pengguna laman sosial.
“Eloklah tutup! Sepatutnya kompaun banyak-banyak sikit…Boleh dibiar budak tu kencing kat situ, jijik!,” komen yang lain pula.
Terdahulu, Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, siasatan dijalankan di premis berkenaan pada jam 11.45 pagi, Jumaat.
“Hasil siasatan mendapati premis tersebut disewakan kepada warga asing. Kesemua empat pengendali makanan terbabit didapati tidak mempunyai Sijil Latihan Pengendali Makanan serta seorang daripada mereka tidak mengambil suntikan Typhoid,” katanya.
Restoran terbabit juga dikesan mempunyai kesalahan lain iaitu pencemaran di tempat penyimpanan makanan, selain lantai premis tidak dibersihkan, dinding berhabuk dan bersawang.
Bukan itu sahaja, tempat penyimpanan makanan didapati kotor, talang telur bersepah di tempat penyediaan makanan serta telur-telur tidak dicuci sebelum digunakan.
Tempat membasuh tangan juga tidak dilengkapi sabun pencuci dan pengering tangan atau tuala pakai buang. Malah pengendali tidak membersihkan tong sampah, bahkan tiada penutup, di samping sistem saliran tersumbat sehingga menyebabkan air melimpah, lalu mengalir di atas permukaan jalan.
Terdahulu, video berdurasi 1 minit 24 saat tular di Facebook memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak kepada tukang masak di restoran terbabit membuang air kecil berhampiran sinki dapur, bersebelahan tempat ibunya memasak. – JURNAL