Sekumpulan penunjuk perasaan anti-Israel menyerbu sebuah lapangan terbang di republik Caucasus Utara Dagestan, Rusia pada Ahad malam berikutan gesaan di media sosial untuk menghalang penerbangan dari Tel Aviv daripada mendarat di wilayah majoriti Muslim.
Video tular di laman media memaparkan ratusan orang berkumpul di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Makhachkala dengan penunjuk perasaan dilihat mengibarkan bendera Palestin dan menjerit laungan anti-Israel.
‘Pembunuh kanak-kanak tidak mempunyai tempat di Dagestan’ dan ‘Kami menentang pelarian Yahudi’ antara tulisan yang dipaparkan pada papan tanda yang dibawa penunjuk perasaan tersebut.
Difahamkan, gerakan demonstrasi itu didorong kuat oleh panggilan yang tersebar di laman media pada Ahad lalu yang menyeru orang ramai untuk menyekat pesawat yang kononnya membawa pelarian dari Israel ke Tel Aviv.
Menurut media tempatan di Dagestan, beberapa penunjuk perasaan bertindak menghalang kenderaan di luar lapangan terbang untuk memeriksa dokumen pengenalan diri pemandu dan penumpang pemegang pasport Israel.
Situasi kian meruncing apabila sekumpulan lelaki menyerbu dan melompat masuk ke dalam pesawat berkenaan sebelum polis tiba di lokasi kejadian.
Namun, kesemua individu terbabit telah diusir dari lapangan terbang tersebut tanpa sebarang tahanan mahupun tangkapan dilakukan oleh pihak polis.
Situasi itu walau bagaimanapun berterusan di luar lapangan apabila penunjuk perasaan terbabit bertindak membaling batu dan objek ke arah polis.
Jawatankuasa Siasatan Rusia cawangan Dagestan berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan atas dakwaan menganjurkan rusuhan besar-besaran dan jenayah yang boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Israel dan Kementerian Luar berkata, mereka memantau keadaan di Dagestan dan menjelaskan bahawa tiada warga Israel yang berada dalam penerbangan tersebut.
Untuk rekod, beberapa kawasan di seluruh Caucasus Utara, terutamanya Dagestan telah menyaksikan beberapa siri gerakan penunjuk perasaan anti-Israel dalam beberapa minggu lalu sejak Israel melancarkan pengeboman tanpa henti di Semenanjung Gaza. — JURNAL
Sumber: AGENSI, MAJORITI