Seorang peniaga lemang berasa sebak dan terharu tatkala berpeluang bersemuka serta bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Insan istimewa dikategorikan orang kelainan upaya (OKU) dikenali sebagai Shaiful Selamat itu pada awalnya ditawar oleh sebuah produksi iklan untuk menjalani penggambaran di premis niaganya.
Namun tidak diduganya, Shaiful atau Epul bagaikan bermimpin sementelah melihat kru rakaman hadir bersama pemimpin negara itu.
“Tiba-tiba orang datang nak sewa peralatan lemang dan kena berlakon, dapat pula bertemu dengan Perdana Menteri yang saya biasa tengok dalam televisyen sahaja.
“Dia seorang insan yang kuat serta teguh walau diasak pelbagai perkara.
“Sebagai orang biasa macam ini, saya terpaksa ambil risiko untuk hidup, yuran sekolah anak pun tidak mampu bayar. Jadi saya buat segala jenis kerja janji mendatangkan rezeki buat anak-anak.
“Berasa tertipu masa PKP, saya sampai letak bendera putih untuk dapat nasi bagi anak makan. Saya tak mahu semua itu berlaku lagi.
“Jadi biarlah PMX menjalankan amanah. Saya sentiasa sokong dan semoga beliau sihat selalu,” ujarnya.
Difahamkan, Epul mengalami kecacatan di tangan kanan yang menyebabkan anggota itu tidak boleh berfungsi sepenuhnya.
Dia kini sedang dalam proses untuk memohon kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Justeru, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh membuat tempahan lemang di premis niaganya dikenali dengan nama ‘Lemang Drum Resipi Beranang’ yang dijual di daerah Sri Petaling, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Anwar Ibrahim turut menyuarakan harapannya agar rakyat memperkukuh perpaduan bagi membangun dan menyelamatkan negara tercinta.
Beliau menyampaikan perkara itu menerusi video berdurasi dua minit 36 saat yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.
Anwar berkata, beliau percaya perpaduan rakyat dapat mengangkat martabat negara dan hidup dalam suasana aman dan makmur bersama.
“Sempena sambutan yang disambut oleh seluruh umat Islam di negara kita dan seluruh dunia ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.
“Mari kita kuatkan semangat, perpaduan rakyat Malaysia, bangunkan negara, selamatkan negara bermula dalam diri kita kerana selepas Ramadan, kita telah membersihkan diri, jiwa kita serta mengangkat maruah keluarga, masyarakat, negara kita sebagai satu,” katanya.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam satu kenyataan berkata, tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Khamis (20 April) bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijrah di 29 lokasi terpilih di seluruh Negara. – JURNAL
Sumber: MAJORITI