Perkongsian video pempengaruh Hafiz Mahamad di laman sosial Instagram ketika melawat seorang kanak-kanak mangsa cabul menjadi perhatian warganet dan selebriti.
Menerusi potongan video tersebut, kelihatan Hafiz ditemani isteri, Syafiqah Aina berada di hospital menziarahi kanak-kanak malang terbabit dan ibunya.
Di ruangan kapsyen Hafiz berkata, ketika menerima WhatsApp daripada pasukannya mengenai perkara tersebut, isterinya terkejut dan menangis.
Hafiz turut meluahkan rasa kesal terhadap individu dikenali sebagai Teacher Abi yang didakwa bertanggungjawab melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak berkenaan
“Sebak saya, bila dapat tahu anaknya dibuat begini. Menangis isteri dan team (pasukan) saya bila dengar ni.
“Ya Allah, kejamnya kamu wahai manusia. Anak ni kecil lagi ibunya pula ibu tunggal dan bukan orang senang. Dia bekerja dan amanahkan kamu wahai manusia untuk menjaga anak ini,” tulis Hafiz meluahkan kekesalannya.
Lebih memilukan apabila anak kecil itu mengaku Teacher Abi telah memasukkan jari ke dalam punggung dan kemaluannya.
Kedengaran juga suara ibu mangsa yang menangis dan kecewa anaknya diperlakukan sedemikian saat dia memberi sepenuh kepercayaan tatkala keluar mencari rezeki.
Sementara itu di ruangan komen, rata-rata pengikut termasuk selebriti tempatan mendesak pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera terhadap si pelaku
Mereka juga berharap pihak taska tidak menyembunyikan kebenaran kerana individu kejam terbabit perlu dikenakan hukuman berat.
“Kejamnya! Kerajaan tolonglah bagi hukuman berat dekat manusia syaitan macam ni. Dedahkan taska dan nama cikgu tu supaya ibu bapa tak hantar anak ke situ lagi. Mangsa trauma seumur hidup dan she don’t deserve that!
“She’s too young, tak faham apapun. Mintak anak-anak perempuan kita semua dijauhkan daripada manusia syaitan macam ni. Anak-anak kecil kecil patut dilindungi dan disayangi, bukan diambil kesempatan! Ini jenayah berat!” komen pelakon Dayana Roza.
Selain Dayana, pelakon dan pengacara versatil, Didie Alias turut berkongsi semula video Mahamad di Instagram miliknya.
“Apa masalah kau? Aku ada anak kecil dan cucu! Kalau macam ni, kepada siapa kita nak hantar anak-anak? Tukang jaga pun perangai dah lebih daripada binatang!” katanya.
Difahamkan, Hafiz sudah membuat laporan polis dan menyerahkan semuanya kepada pihak berkuasa.
“Dia dalam team saya, anak dia saya anggap seperti anak sendiri. Saya serahkan pada pihak polis dan semoga ada tindakan cepat diambil.
“Video ni, saya minta keizinan ibunya untuk dikongsikan. Saya harap, manusia semakin takut untuk perlakukan kanak-kanak macam ni lagi. Dengan izin-Nya, Allah sentiasa bersama kalian.
“Saya dan team akan fikirkan cara untuk membantu keluarga ini nanti. Doakan kami,” katanya. – JURNAL