Pengasas Rumah Anak Yatim Dan Miskin Baitu Saidati Khadijah, Esah Lila Abdullah sebak apabila mengenang kembali budi dan jasa baik Allahyarham pelawak, Abam Bocey.
Esah ketika ditemui JURNAL berkata, Allahyarham telah banyak membantu anak-anak di Saidati Khadijah, sejak sebelum bergelar selebriti lagi.
Katanya, bukan sahaja Abam malah arwah ibunya Sabariah Arshad juga antara individu yang sering mengambil berar tentang penghuni di situ.
“Allahyarham terlalu baik dengan kami. Bukan dia sahaja tetap ahli keluarganya semua baik-baik. Arwah Abam dan ibunya selalu menghulurkan sumbangan kepada kami, dari segi kesuntukan kewangan mahupun makan dan minum.
“Bukan setakat itu, mereka turut menyumbang tenaga. Sebutlah apa saja yang kami nak makan, dia akan masakkan. Dari sekecil-kecil keperluan pasti ada daripada dia, baju sekolah untuk anak-anak di sini pun dia yang beli,” katanya menahan sebak.
Tambah Esah lagi, Abam tidak membenarkan dia bercerita kepada sesiapa tentang bantuan diberikan.
“Arwah Abam pernah pesan supaya tidak menceritakan kepada sesiapa tentang apa saja yang telah diberikan. Tetapi masa hari dia meninggal pada 10 Februari 2020, saya terpaksa ceritakan apabila ditanya wartawan kerana ia perkara yang sangat baik.
“Timbul rasa bersalah, tetapi itulah jalan cerita yang sudah tertulis…Ibu minta maaf Abam,” katanya.
Bagaimanapun kata Esah, selepas pemergian Abam tiada lagi pihak lain yang datang bertemu dengannya menghulurkan bantuan.
“Sehingga hari ini tidak adalah lagi yang datang kepada kami selepas arwah Abam,” ujarnya.
Esah ditemui ketika sidang media Majlis Berbuka Puasa Datuk Aishah dan Ezad Lazim bersama Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah di Grand Barakhah Hotel, Kuala Lumpur pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai inisiatif dijalankan Xutfilm Studio untuk membantu rumah kebajikannya mengumpul dana, Esah memanjatkan rasa syukur dan berterima kasih.
“Terima kasih kepada Shahriz kerana sudi membantu kami. Hanya Allah yang dapat membalasnya,” katanya.
Sementara itu, wakil penganjur Shahriz Taher berkata, rumah kebajikan bertempat di Sungai Pusu, Gombak itu tidak pernah meminta bantuan mana-mana NGO setakat ini.
“Rumah kebajikan ini memerlukan bantuan orang ramai berikutan tidak pernah meminta pertolongan daripada mana-mana pihak mahupun NGO sebelum ini.
“Kami menggalakkan orang ramai mengambil peluang meraikan anak-anak tidak bernasib baik ini untuk berkongsi kegembiraan.
“Tetamu yang datang pada majlis berbuka puasa itu nanti boleh memberi sumbangan secara persendirian kepada rumah kebajikan ini,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk menyertai majlis berbuka puasa pada 7 April ini, jualan tiket sudah pun dibuka.
Jualan dibuka secara meja atau persendirian dengan harga bermula RM188 sehingga RM358 dan boleh dibeli di talian 24 jam, 011-70270028.
Semua pembelian tiket, 15 peratus akan disalurkan ke rumah Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah.
Program akan bermula jam 5.30 petang dengan persembahan istimewa daripada Ezad Lazim dan penyanyi legenda, Datuk Aishah.
Acara ini turut menampilkan pengacara sensasi dari Singapura, Roslan Shah. – JURNAL