Pengasas Bawal Bawal Exclusive, Haliza Maysuri menafikan tuduhan netizen yang melabel dirinya riak selepas berkongsi video menyaksikannya bertelekung jenama mewah ketika menunaikan umrah baru-baru ini.
Pada ruangan kapsyen hantaran tersebut, Haliza turut menulis, ‘Memakai telekung berharga RM6,080, barulah tetamu VIP Allah’.
Pun begitu, video berkenaan menjadi tular dalam kalangan warganet, bahkan dikecam teruk kerana mereka menyifatkan Haliza riak dan angkuh kerana sengaja menunjuk-nunjukkan kemewahannya.
Menyangkal dakwaan dilemparkan terhadapnya, Haliza berpendapat, kata-kata dikongsikan di platform media sosial itu adalah kehendak diri serta doa peribadinya.
“Bukan riak, tetapi itulah doa saya setiap hari tanpa mengira waktu iaitu saya mahu menjadi tetamu VIP Allah di rumah-Nya.
“Tak sangka pula doa dan permintaan saya itu tular. Tetapi tak mengapa, tak terkesan pun dengan segala kritikan mereka. Tak marah, terasa hati pun tidak,” akuinya pasrah.
Malahan Haliza menegaskan, entri tersebut bukanlah bertujuan untuk memperbandingkan dirinya dengan sesiapa, hanya sekadar doa semata-mata. – JURNAL