Pihak berkuasa wilayah dan tempatan Indonesia digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mengeksploitasi orang tua semata-mata demi meraih hadiah di media sosial.
Menteri Hal Ehwal Sosial, Tri Rismaharini menegaskan, tindakan itu bagi menyekat aktiviti mempergunakan warga emas dalam kandungan sosial media demi meraih ganjaran lumayan yang ditawarkan aplikasi tertentu.
Katanya, selain warga emas, kanak-kanak, kelompok menjadi sasaran adalah orang kurang upaya (OKU) atau golongan rentan.
Pekeliling itu mengarahkan gabenor, ketua daerah dan datuk bandar untuk mengambil tindakan untuk mencegah aktiviti mengemis dalam talian dan luar talian dengan mengeksploitasi golongan berkenaan.
Pihak berkuasa tempatan juga digesa untuk menyediakan perlindungan, bantuan dan pemulihan sosial untuk warga emas, kanak-kanak, OKU dan golongan lain yang dieksploitasi dalam aktiviti mengemis dalam talian atau luar talian.
Baru-baru ini, orang ramai dikejutkan dengan aktiviti mengemis dalam talian.
Dalam satu penstriman langsung, seorang warga emas duduk di dalam kolah sebelum air dicurahkan ke atasnya setiap kali penonton menyumbangkan wang.
Kaedah mengemis dalam talian ini paling ketara muncul di TikTok.
Penstriman langsung yang dijalankan individu dipercayai orang terdekat atau anak mereka, berlarutan selama berjam-jam. – JURNAL