Baru hari pertama bersidang, Dewan Rakyat sudah kecoh sehingga menimbulkan kemarahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.
Kekecohan bermula apabila Ahli Parlimen (MP) Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, mengeluarkan kata-kata kurang sopan yang ditujukan kepada kepada Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.
“Pendang beruk! Pendang beruk!” ulang Mohd Sany berulang kali dan mendakwa mengeluarkan ayat tersebut kerana Awang yang memulakan provokasi apabila menyatakan: “kami tak mahu menjadi kera.”
Rakaman video sesi berkenaan menjadi tular di media sosial sehingga menjadi bahan ketawa warganet yang menyamakan pergaduhan dan ejek mengejek yang berlaku seperti kanak-kanak.
Susulan itu, ramai yang mula mencari maklumat lebih terperinci tentang Mohd Sany.
Untuk pengetahuan pembaca JURNAL, Mohd Sany merupakan Ahli Dewan Negeri Selangor bagi DUN N15 Taman Templer.
Beliau menyandang kerusi itu sejak PRU-14 pada 2018 yang lalu. Pada peringkat parti beliau merupakan bekas Ketua Pemuda AMANAH.
Mohd Sany memang terkenal dengan kelantangan bersuara, jika anda mengikuti perkembangan sepanjang tempoh berkempen pada PRU-15 yang lalu, pasti tidak terkejut dengan apa yang berlaku di Dewan Rakyat, semalam.
Dari pengamatan JURNAL, Mohd Sany pasti akan menjadi antara MP terkenal di Dewan Rakyat seperti Kinabatangan (Datuk Bung Mokhtar Radin), bekas ahli parlimen Pasir Salak (Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman) dan Ketua Pembangkang dari Larut (Datuk Seri Zainudin Hamzah).
Yang mengikuti perkembangan politik Negara dan Dewan Rakyat pasti tahu tentang ketegasan dan kelantangan nama-nama yang disebut di atas. Kalau ikut bahasa anak-anak muda masa kini; ‘legend’!
Jadi tidak hairanlah jika selepas ini siaran langsung sidang Dewan Rakyat akan menjadi antara program yang dinanti ramai. – JURNAL