Seorang penghantar makanan tular di media sosial apabila terpaksa berjalan kaki selepas motosikalnya dipercayai ditahan pihak berkuasa.
Menerusi perkongsian di laman sosial TikTok, penghantar makanan berkenaan berjalan kaki meninggalkan kawasan sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menerusi klip video itu juga, lelaki yang masih memakai topi keledar dilihat menggalas beg milik sebuah syarikat penghantaran.
Turut kelihatan, beberapa lagi individu yang dipercayai turut ditahan dalam SJR tersebut.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai yang mendoakan urusan penghantar makanan tersebut dipermudahkan.
Ada juga yang menuding jari kepada JPJ kononnya tidak bersimpati.
Sesetengah yang lain pula menegaskan ‘matlamat tidak menghalalkan cara’ kerana undang-undang jalan raya perlu dipatuhi, apatah lagi JPJ hanya menjalankan tugas.
Bagaimanapun, perkongsian itu tidak menyatakan tarikh dan lokasi kejadian itu dan mengapa rider tersebut bertindak berjalan kaki meninggalkan kawasan SJR. – JURNAL