Hari ini tular di media sosial rakaman video penyokong Harimau Malaya yang bertindak membaling cawan berisi sos dan sisa minuman kepada penyokong lain, ketika perlawanan separuh akhir pusingan pertama Malaysia menentang Thailand, Sabtu lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perbuatan keji penyokong lelaki tersebut dikecam warganet yang menganggap mereka sebagai tidak bertamadun dan mempunyai tahap mentaliti kelas ketiga.
Menerusi rakaman sama, kelihatan beberapa penyokong lain turut melakukan perkara sama, sekaligus menggambarkan sikap tidak matang penyokong bola sepak tempatan.
Warganet menerusi ruangan komen berkata, kelakuan dan sikap yang dipamerkan segelintir penyokong ini, memalukan negara dan tempiasnya adalah kepada pasukan bola sepak negara.
— bluerghhh (@CrossedKom) January 9, 2023
Dakwa warganet lagi, ada juga penyokong Harimau Malaya bertindak melampau dengan menyuluh laser ke wajah pemain Thailand ketika perlawanan berlangsung.
“Yang perangai main ‘laser’ satu hal, yang ini pun satu hal lagi. Minta maaf cakap, perangai macam ni menggambarkan mentaliti penyokong bola sepak tempatan di paras terendah!,” komen seorang netizen.
“Memalukan! Benda dah viral, comfirm orang luar pun nampak kelakuan penyokong-penyokong beruk ni!,” kata seorang lagi.
“Eh! Kalau masa dia baling air sos tu aku ada situ, memang berlaku pertumpahan darah dah ni, bukan pertumpahan sos lagi dah!,” sindir seorang lagi.
Malam ini bakal berlangsung perlawanan timbal balik Malaysia menentang juara bertahan Thailand untuk slot final Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat. – JURNAL