Dua lelaki yang mengganggu wanita ketika menunggang motosikal di sekitar Jalan Skudai Pantai Lido, Johor Bahru, Johor pada Rabu mengundang padah apabila kedua-duanya kini dilaporkan sudah dicekup polis.
Dalam sebuah video yang tular di laman Facebook sejak Sabtu, rakaman itu memaparkan perbuatan kedua-dua individu terbabit yang didakwa mengganggu dua wanita yang berada di laluan sama, selain tidak memiliki lesen memandu serta tidak memakai helmet.
Mengekori rapat dari arah belakang sehingga ke hadapan motosikal ditunggang mangsa, tindakan itu nyata mengundang ketakutan buat wanita berkenaan yang dilihat seperti mahu melarikan diri ketika kejadian.
Namun, insiden itu dihentikan oleh seorang pengguna jalan raya yang turut menyaksikannya dengan menengking kedua-dua suspek lantas meleraikan situasi tersebut.
Menerima lebih 10,000 jumlah tontonan di Facebook, video berkenaan hangat diperkatakan warganet dan turut menerima perhatian pihak polis.
Susulan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kedua-dua suspek lelaki berusia 20-an tersebut sudah ditahan bagi membantu siasatan.
“Seorang lelaki warga tempatan bersama pembonceng yang tidak memakai topi keledar telah mengganggu individu perempuan yang sedang menaiki motosikal di laluan tersebut.
“Perkara itu menyebabkan mangsa berasa takut dan trauma disebabkan gangguan berkenaan.
“Suspek telah berjaya dikesan dan ditahan di balai polis trafik untuk tindakan selanjutnya, namun tiada kegiatan jenayah dikesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. – JURNAL
Sumber: Majoriti