Di laman sosial Twitter, tular video seorang doktor berketurunan Sikh sedang menyampaikan ceramah berhenti merokok di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.
Ceramah tersebut dikatakan berlangsung pada hari Jumaat lalu.
Bagaimanapun, video tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.
Ada yang berpendapat ia sebagai sesuatu yang baharu dan memecah amalan biasa apabila menjemput individu bukan beragama Islam untuk berkongsi ilmu di dalam masjid.
“Topik kuliah di masjid bukanlah sesuatu yang luar biasa dan selalunya bersandarkan kepada nilai agama. Ceramah oleh doktor Sikh ini mengingatkan saya kepada zaman kegemilangan Islam, di mana masjid juga dijadikan sebagai istana ilmu.
“Saya menggalakkan lebih banyak masjid melakukan perkara ini dengan menjemput lebih ramai pakar tanpa mengira agama mereka
“Inilah cara kita boleh menarik orang ramai ke masjid sebagai tempat ibadat dan menuntut ilmu,” kata pengguna Twitter.
Netizen turut memuji usaha masjid itu mendidik jemaahnya dengan menjemput seorang bukan Islam menyampaikan ceramahnya di situ.
“Hebat!!!! Kudos to both of them! Contoh yang baik untuk diikuti oleh semua masjid lain! Tq for sharing:)!,” kata pengguna Twitter @zymasri.
Bagaimanapun, ada juga yang kurang bersetuju dengan apa yang dilakukan kariah masjid berkenaan.
“Ramai lagi pakar beragama Islam yang boleh dijemput,” komen seorang netizen. – JURNAL