Sebuah lori tangki minyak terbakar dalam kejadian di Kampung Beris Lalang, Bachok, Kelantan, pada Isnin.
Bagaimanapun, kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Pegawai operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Zamizi Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.22 petang dan tiba di lokasi 16 minit kemudian.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati sebuah lori tangki minyak sedang terbakar 100 peratus.
“Kebakaran terbabit juga telah melibatkan kabel elektrik,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pihaknya terpaksa meminta bantuan tanker daripada Balai Bomba Penyelamat Kota Bharu, Pasir Puteh dan Tok Bali untuk kerja-kerja memadam kebakaran.
Ujarnya, operasi memadam kebakaran mengambil masa 15 minit dan tamat sepenuhnya jam 9.14 malam.
Sementara itu menerusi video yang tular, beberapa saksi kejadian yang juga penduduk setempat mendakwa pemandu lori tangki tersebut sempat keluar menyelamatkan diri.
Menurut mereka, dia (pemandu) melompat keluar dari lori tangkinya sebaik sahaja jenteran dipandu terbabas dan mula terbakar. – JURNAL