Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian murid trauma dan terganggu emosi kerana digigit seorang guru lelaki di sebuah sekolah di Pantai Timur, yang turut tular di media sosial sejak hujung minggu lalu.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, kejadian seperti itu sekiranya benar tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya telah mengenal pasti hantaran yang dimuat naik ibu murid terbabit untuk tindakan lanjut.
Terdahulu seorang wanita dikenali sebagai Eyma Zaideen mendakwa anaknya berusia enam tahun yang mendakwa sering dicium dan digigit oleh guru di sekolahnya.
Eyma pada awalnya tidak percaya aduan anaknya itu bertindak ke sekolah dan bertanya kepada pelajar lain.
Menerusi rakaman audio dikongsi Eyma di Instagram, beberapa murid lain turut membuat pengakuan pernah digigit Cikgu Nor.
Difahamkan Cikgu Nor memang sangat dikenali kerana gemar melakukan perbuatan itu kepada mana-mana murid yang digemarinya.
Dalam rakaman berdurasi satu minit 40 saat itu, seorang murid berusia 11 tahun berkata, dia pernah digigit oleh guru terbabit di bahagian tangan dan hidungnya dan beberapa murid perempuan lain juga sering menjadi mangsa individu berkenaan.
Punca kelakuan itu walau bagaimanapun tidak diketahui oleh kanak-kanak terbabit namun, perkara itu meraih kecaman hebat di laman media yang rata-ratanya menganggap ia sebagai gangguan seksual terhadap golongan budak bawah umur.
Untuk rekod, Eyma sebelum ini mendedahkan perubahan sikap anaknya yang dikatakan menghadapi tekanan dan muram selepas pulang dari sekolah.
Hasil soal selidik dijalankan, anaknya mengesahkan kelakuan guru terbabit yang didakwa sering menggigit anggota badannya ketika di sekolah. – JURNAL