Tujuh tahun bertapak, jenama By Marlena kini semakin kukuh di samping meluaskan empayarnya ke serantau Asia.
Diasaskan di Singapura oleh pengasasnya, Marlena Nasir, mengakui, keinginan anak-anak telah mendorong dirinya untuk membina perniagaan yang sedang diusahakan kini.
“Dulu saya bertugas sebagai pramugari dan menetap di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana berkhidmat di syarikat penerbangan berpangkalan di sana.
“Masa saya memulakan kerjaya di awan biru, anak-anak masih kecil. Tetapi saya terpaksa berkorban demi masa depan yang lebih senang dan terjamin.
“Saya tinggalkan mereka bersama keluarga bekas suami saya dan merantau ke tempat orang demi meraih pendapatan yang lebih baik supaya dapat menampung kehidupan mendatang di Singapura.
“Desakan ekonomi dan kewangan meneruskan kehidupan di Kota Singa ini bukan perkara mudah untuk saya dan anak-anak hadapi.
“Besar pengorbanan yang perlu dilakukan dan Alhamdulillah, kami sekeluarga bersatu semula selepas saya kembali ke Singapura kira-kira 3 tahun lalu setelah diberhentikan kerja akibat Covid,” dedahnya.
Tambah Marlena, idea mengeluarkan produk Abaya tercetus kerana mahu memenuhi keinginan anak sulung, Amalia Nazura, 27, yang sukakan gaya pemakaian kaum wanita Arab di Abu Dhabi dan ingin menggayakannya ke kolej.
Tambah mengujakannya, anak-anak yang semakin meningkat dewasa kini juga berminat untuk menceburi bidang perniagaan dan meneruskan legasi dimulakannya itu.
“Selama saya berada di Abu Dhabi, Amalia yang membantu saya menjalankan perniagaan di Singapura secara kecil-kecilan.
“Tidak berlengah-lengah sementelah tiba di tanah air, saya terus ligat menjalankan perancangan yang diatur terlebih dahulu ketika di Abu Dhabi lagi,” bicaranya.
Dek kegigihan yang disulam semangat tekad tanpa mudah terbit rasa putus asa, Marlena sewaktu sesi temu bual bersama JURNAL dijalankan, dia ternyata tidak mampu menyembunyikan perasaan bangganya atas pencapaian bersama anak-anak hari ini.
Paling manis baru-baru ini, Marlena tidak pernah menyangka, produk keluarannya mula terpampang di platform-platform iklan mempromosikan jenama By Marlena lebih giat dan pesat.
@jurnal.malaysia Permulaan bagi sebuah perniagaan pasti bermula atas dasar motivasi diri atau keluarga Begitu juga dengan By Marlena yang kini meniti ke bibir masyarakat Dapatkan By Marlena di https://www.bymarlena.com/ @BY MARLENA #ByMarlena #Abaya #business ♬ original sound – Jurnal Malaysia
“Pengalaman tak dilupa apabila penyanyi Zizi Kirana sudi bekerjasama dengan kami dalam menjayakan sesi tilawah sepanjang Ramadan ini.
“Jujurnya, kerjasama diberikan amatlah memuaskan dan sangat dihargai. Lebih-lebih lagi, proses rakaman bacaan ayat suci al-Quran yang dibacakan Zizi mendapat sentuhan unit editorial KRU Media serta sokongan label Imaan Studios di bawah KRU Group.
“Rakaman berjalan sempurna dan dipermudahkan walaupun ini kali pertama saya terbabit secara langsung dalam kempen promosi seperti ini,” akuinya teruja.
Bercakap tentang rakaman dihasilkan, Marlena cuma berharap bacaan-bacaan ayat suci yang dibaca oleh Zizi dan kemudiannya diperdengarkan kepada umum dapat memberi rahmat buat seluruh umat Islam selama menjalani ibadah puasa tahun ini. – JURNAL