“Siapa untung dan siapa yang rugi?”
Demikian ulasan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai konsert kumpulan rock alternatif British, Coldplay yang bakal diadakan selama enam hari berturut-turut di Singapura.
Syed Saddiq menerusi hantaran video di Facebook menyifatkan Malaysia terlepas peluang ekonomi yang boleh dihasilkan daripada penganjuran konsert terbabit.
Dalam hantaran video tersebut, Syed Saddiq telah memberikan beberapa contoh ‘keuntungan’ dan peluang yang dapat diraih oleh para pengusaha dan peniaga di negara tersebut.
“Coldplay buat ‘tour’ enam hari di Singapura. Semalam lima hari, hari ini mereka tambah lagi satu tarikh. Malaysia pula nak buat satu konsert pun banyak halangan. Tetapi apa kena mengena konsert Coldplay di Singapura dengan Malaysia.
“Kita sebenarnya terlepas loteri ekonomi. Maksud saya adalah, ketika kita bertengkar mengenai penganjuran konsert di Malaysia, negara luar merebut peluang keemasan untuk menjana lebihan ekonomi,” katanya.
Sebagai contoh, Syed Saddiq berkata, Singapura telah pun mengutip hasil jualan tiket sebanyak RM180 juta.
Tambah bekas Menteri Belia dan Sukan itu lagi, Singapura juga bakal mendapat limpahan ekonomi ekoran peminat daripada luar negara akan mengembara dan berbelanja di negara itu sepanjang konsert Coldplay berlangsung.
“Jangan lihat pada hasil jualan tiket sahaja, tetapi kos penerbangan juga. Ribuan orang akan masuk ke Singapura untuk menonton konsert, bayangkan keuntungan dari sudut itu sahaja.
“Pengusaha restoran juga dapat merasai nikmatnya juga sebab pelancong yang masuk perlu makan.
“Dan bila dah mengembara ke negara orang mestilah nak ‘check in’ hotel jadi kenalah tempah hotel-hotel di negara tersebut.
“Ni belum lagi daripada sudut pekerjaan. Event manegement, lighting expert, sound expert, floor management, volunteers semua rangkaian yang dapat menikmati nikmat ini.
“Sementara kita sibuk membantah dan terlepas peluang menjana ekonomi. Cukup-cukuplah,” katanya.
Justeru beliau menegaskan, Malaysia tidak boleh berterusan terlepas peluang ekonomi yang boleh dijana hasil daripada penganjuran konsert. – JURNAL