Polis menafikan dakwaan seorang wanita warga asing didera majikannya dan terpaksa melarikan diri seperti dalam video yang tular di media sosial sejak semalam.
Sebaliknya, Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, wanita warga asing yang bekerja sebagai pembantu rumah itu sebenarnya melarikan diri dari rumah majikannya di Taman Pelangi, Sentul bersama pelbagai barangan milik majikan serta wang tunai.
“Pada 18 Julai, lebih kurang jam 10.48 malam, polis menerima laporan seorang wanita tempatan berusia 52 tahun yang memaklumkan pembantu rumahnya, seorang wanita warga asing melarikan diri bersama barangan berharga dan wang tunai miliknya.
Jumlah keseluruhannya bernilai RM10,850.
“Suspek melarikan diri dari rumah pada 17 Julai, lebih kurang 11.21 pagi di kawasan Taman Pelangi,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Katanya, polis mendapati suspek melarikan diri dengan membawa sebuah beg membeli-belah warna biru dengan memanjat pahat hadapan rumah.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular video dimuat naik seorang pemandu e-hailing menunjukkan seorang wanita dipercayai warga Indonesia ditemuinya di tepi jalan sambil menangis, meminta bantuan.
Menerusi video tersebut, wanita itu mendakwa mengalami trauma akibat dipukul dan tidak diberi makan oleh majikannya. – JURNAL