Polis menahan seorang lelaki yang menggari kedua-dua tangannya sambil memegang sepucuk pistol di dalam kereta seperti dilihat menerusi sebuah video tular, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan pada jam 1.05 pagi Sabtu lalu.
Tambah beliau, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung rakaman berkenaan yang dimuat naik di akaun Telegram Edisi Siasat kira-kira jam 6.15 petang Jumaat lepas.
“Klip itu menunjukkan individu terbabit sedang memegang senjata api dengan kedua-dua belah tangannya bergari di dalam sebuah kenderaan,” jelasnya memetik kenyataan dikeluarkan semalam.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
“Suspek kini direman empat hari mulai 18 Februari lalu hingga hari ini bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, polis masih menyiasat bagi mengenal pasti pemilik sebenar pistol dan gari berkenaan. – JURNAL