Rakaman seorang pesakit Hospital Umum Kerajaan Daerah Nizamabad di Telangana, India diseret atas lantai tular dan mencetuskan kemarahan orang ramai.
Malah ketika kejadian tiada kakitangan hospital dilihat datang membantu untuk mengalihkan pesakit menggunakan pengusung atau kerusi roda.
Gara-gara penularan klip pendek tersebut, orang ramai menggesa kerajaan membina infrastruktur kesihatan yang lebih baik untuk rakyat.
“Lihat sahaja bagaimana kakitangan hospital membawa pesakit ke lif, dengan menarik kakinya. Sungguh memalukan!
“Ketua menteri dan anaknya hanya sibuk dalam mesyuarat politik mereka,” ciap pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP), Vishnuvardhan Reddy.
Tidak lama selepas video tular, Kementerian Kesihatan Telangana mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa pesakit diseret oleh ibu bapanya sendiri.
Jabatan Kesihatan Telangana berkata, pesakit dimasukkan ke hospital kerajaan Nizamabad pada 31 Mac lepas.
Menurutnya,selepas pemeriksaan kesihatan dibuat, pesakit dimasukkan ke wad perubatan am.
“Keesokan harinya, pesakit disuruh duduk di ruang menunggu di tingkat satu oleh kakitangan hospital supaya mereka boleh membawa slip temu janji dan kerusi roda.
“Namun, ibu bapa pesakit mengheretnya ke lif untuk naik ke tingkat dua,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kakitangan hospital bergegas ke tingkat dua dan meminta pesakit duduk di atas kerusi roda.
“Mereka membawanya kembali turun ke tingkat satu,” jelasnya. – JURNAL
Sumber: AGENSI