Sebuah kelab bola sepak profesional England, West Ham United Football Club mengambil tindakan melarang beberapa orang penyokongnya untuk melihat kelab itu beraksi selepas tular video beberapa individu tersebut menyedut ‘serbuk putih’ di Stadium London, England.
Dalam video tular di media sosial tersebut memaparkan, sekumpulan individu itu berada di dalam stadium menyaksikan perlawanan bola sepak ketika kejadian itu berlaku.
Turut kelihatan lelaki botak yang kepalanya diletakkan serbuk putih tersebut hanya ketawa apabila salah seorang daripada suspek menyedut serbuk berkenaan dari kepalanya.
Video itu kemudian mendapat lebih daripada 736,000 tontonan di media sosial.
Sementara itu, jurucakap West Ham berkata, pihak kelab mengecam tindakan sekumpulan lelaki tersebut.
Tangkap layar memaparkan seorang salah seorang penyokong West Ham menyedut ‘serbuk putih’ dari kepala seorang penonton bola sepak di Stadium London.
— Himoine Granger 🇬🇾 (@kezurgh) March 9, 2023
“Maklumat mengenai individu yang terlibat dalam insiden tersebut sudah diserahkan pada pihak polis.
“Pada masa sama, kesemua suspek juga digantung tiket perlawanan dan dilarang memasuki Stadium London.
“Mereka juga dilarang melakukan perjalanan bersama kelab untuk perlawanan di tempat lawan.
“Pihak kelab juga sedang menjalankan siasatan dan kesemua suspek boleh diharamkan untuk melihat kelab beraksi selamanya.
“Tiada tempat untuk kelakuan seperti ini,” katanya. – JURNAL
Sumber: AGENSI