Seorang jurukamera mengalami kecederaan di dahi selepas terkena rembatan kencang Cristiano Ronaldo.
Insiden tersebut berlaku ketika Ronado mengambil sepakan percuma semasa perlawanan Saudi Pro League di antara Al-Nassr dan Al-Raed pada Sabtu lalu.
Selepas melepaskan satu rembatan deras, bola Ronaldo itu tidak menerjah ke dalam gol lawan tetapi sebaliknya terkena kepala seorang jurukamera yang berada di belakang gawang gol Al-Raed.
Kesan daripada terkena bola deras oleh Ronaldo itu, jurukamera tersebut tidak dapat mengimbangkan badannya dan nyaris pengsan di tempat kejadian.
Difahamkan jurukamera itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius hanya bengkak di bahagian kepala dengan benjolan yang sangat besar.
Dalam perlawanan itu tiga pemain bintang Al-Nassr iaitu Sadio Mane, Anderson Talisca dan Ronaldo berjaya membantu pasukan mereka menewaskan Al-Raed dengan keputusan 3-1 di Stadium King Abdullah.
Dengan kemenangan itu, Al-Nassr berjaya naik ke tangga keenam dalam Saudi Pro League yang mana mereka mengutip 12 mata dalam enam perlawanan. – JURNAL