Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dalam persidangan semalam (Khamis) telah menegur ahli Dewan Rakyat supaya tidak merokok di dalam bangunan Parlimen.
Khoo berkata, sebagai wakil rakyat ahli Dewan Rakyat perlu menunjukkan contoh yang baik sebelum menegur perokok tegar di luar sana untuk mematuhi undang-undang.
“Bangunan Parlimen adalah tempat larangan merokok. Tapi kita lihat ramai yang merokok, saya rasa kita harus menunjukkan contoh yang baik kepada semua, kita adalah wakil rakyat.
“Jadi apa pandangan Timbalan Menteri (Kesihatan), usaha yang kita harus lakukan terhadap perokok untuk kita berikan pendidikan kepada mereka, jika mahu merokok perlu keluar dari bangunan dan jangan menyusahkan orang lain,” tegur Khoo.
Teguran tersebut kemudiannya mendapat respons Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni yang bersetuju dan berterima kasih atas pandangan dikemukakan Khoo.
Lukaniman turut menasihatkan mereka yang berada di kawasan Parlimen untuk berhenti merokok atau pergi ke ruang merokok jika ingin meneruskan perbuatan itu.
“Bagi yang masih lagi merokok kalau boleh kita buanglah tabiat merokok itu, tetapi sekiranya ingin diteruskan pergilah ke ruang merokok yang bersesuaian dan jangan merokok di kawasan berdekatan dengan ruang pejabat dan di dalam ruang parlimen,” katanya.
Susulan pewartaan dan dan larangan merokok di tempat makan bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018, KKM telah memulakan talian aduan bermula Januari 2019.
Bagi tempoh 2022 KKM telah menerima sebanyak 7291 aduan membabitkan 5030 premis tempat makan dengan 1233 premis dengan aduan berulang. – JURNAL