Seorang pemandu teksi dikenali sebagai Norazlan Ismail, 49, sanggup berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Tol Skudai menuju ke Istana Negara bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP.
Norazlan mengakui nekad berbuat demikian supaya kepayahannya disedari pihak atasan kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambahnya lagi, pengeluaran KWSP juga mungkin boleh selamatkan rumah tangga dan keluarganya ketika ini.
Norazlan memulakan misi perjalanan solonya jam 10 malam Selasa lalu, dan setakat petang Rabu (semalam), dia sudah tiba di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Simpang Renggam.
Katanya, ia umpama ‘misi gila’ namun dia tiada cara lain dan menganggapnya sebagai usaha supaya kerajaan memahami betapa terdesak individu sepertinya mahukan pengeluaran caruman itu.
“Saya berpisah dengan isteri Ogos tahun lalu dan ia ada kaitan dengan soal kewangan. Jadi, jika saya dapat pengeluaran bersasar seperti RM10,000 hingga RM30,000 itu, saya boleh usaha dapatkan kembali keluarga saya dan bina semua keluarga saya.
“Saya bekerja sebagai pemandu teksi selepas pandemik Covid-19. Ketika pandemik, saya bekerja sebagai pemandu kepada seorang individu bergelar Datuk di Johor Bahru.
“Apabila perniagaannya merudum, saya terpaksa berhenti. Hutang saya juga ‘keliling pinggang’ kerana perlu tampung pelbagai kos.
“Niat saya ialah supaya Perdana Menteri tahu bahawa pengeluaran caruman KWSP ini sangat penting buat individu seperti saya,” katanya.
Menurut Noorazlan, bukan dia tidak berjimat tetapi keperluan persekolahan dan kos sara hidup semakin tinggi sehingga
menyebabkannya terpaksa berhutang. Katanya, keluarganya juga sudah membantu seadanya.
“Lima anak dalam jagaan saya dengan yang sulung berusia 18 tahun kini menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, kedua berada di tingkatan empat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), ketiga dalam darjah lima di sebuah pusat tahfiz di Kampung Melayu, keempat masih di prasekolah dan yang bongsu berusia empat tahun.
“Kami perlukan wang untuk perbelanjaan harian dan pelbagai lagi. Pendidikan juga penting untuk anak-anak saya. Saya sempat beri RM50, hanya itu yang ada, kepada anak sulung untuk perbelanjaannya,” katanya.
Menurutnya, anak-anaknya turut memberi sokongan kepadanya untuk melaksanakan misi berkenaan.
Noorazlan berkata, dia hanya berjalan kaki dengan berstokin dan selipar kerana tidak mempunyai kasut sukan yang bersesuaian.
Dia berharap misinya mendapat perhatian dan jika gagal, sekurang-kurangnya dia sudah berusaha supaya kerajaan melihat ada insan sepertinya yang amat memerlukan pengeluaran caruman KWSP.
“Saya tak pasti sampai (ke Istana Negara) bila kerana saya berjalan ikut kemampuan dengan memakai stokin dan berselipar. Saya tiada kasut sukan, kasut saya semua kasual kerana saya pemandu teksi.
“Saya akui misi ini sangat mencabar dan sukar, malah dengan keadaan saya yang jarang berjalan kaki dan bersenam, kaki saya melecet malah betis juga sakit.
“Tetapi saya tidak akan putus asa. Insya-Allah, saya kuat demi anak dan bekas isteri saya, mereka beri sokongan. Saya mahu perbaiki diri dan keluarga,” katanya.
Bercerita lanjut, Noorazlan memberitahu, ramai pengguna jalan raya yang mahu menumpangkannya ke destinasi.
“Namun saya terpaksa menolak kerana misi saya mahu orang atasan melihat kepayahan kami sebagai rakyat,” katanya. – JURNAL
Sumber: Harian Metro