Baru-baru ini tular sebuah video memaparkan pengantin lelaki dilihat terketar-ketar menyarungkan cincin ke jari manis isterinya sebaik diijabkabulkan, malah memakan masa selama tiga minit.
Melihat situasi tersebut, maka di ruangan komen, terbit kata-kata negatif dari kalangan warganet yang mempersendakan pasangan mempelai berkenaan, konon ‘terpaling alim’ sehingga tidak pernah bersentuhan antara lelaki dan perempuan.
Bagaimanapun, tampil seorang individu memberi penerangan asbab acara yang sepatutnya diraikan itu kelihatan seperti tidak kena di mata segelintir netizen.
Individu tersebut menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya mengakui menerima kiriman mesej daripada seseorang yang mendakwa kedua-dua pengantin terbabit iaitu Aidil Ashraf dan Maisarah sebenarnya adalah orang kelainan upaya (OKU).
“Ada kawan saya dalam video tu. Memang betul, pengantin perempuan OKU dan suaminya golongan istimewa, lembam.
“Tak tahu nak jelaskan dia macam mana. Tapi saya rasa sedih bila orang kecam kedua-duanya,” luah individu terbabit.
Pun begitu, pemilik asal video dimuat naik di laman TikTok bernama Mashitah menjelaskan, perkongsiannya hanya mahu meraikan pasangan istimewa tersebut, tiada niat langsung untuk menjatuhkan.
“Tak sangka viral dan macam-macam netizen tuduh mereka dengan pelbagai andaian.
“Saya minta maaf, hanya Allah lebih mengetahui,” katanya.
Mashitah juga menerusi entrinya memohon semua pihak mendoakan pasangan tersebut agar bahagia hingga ke syurga. – JURNAL