Aksi Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) bermain alat permainan lato-lato yang kini sedang menjadi trend di negara tersebut, menarik perhatian warganet.
Rakaman video Jokowi dan Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil mencuba alat permainan tersebut menjadi tular di laman sosial.
Lucunya, ada warganet yang berpendapat Jokowi perlu berlatih lagi jika mahu menjadi ‘raja lato-lato’.
“Pak Jakowi nampaknya perlu lebih banyak belajar ni. Begitu juga dengan Pak Ridwan, kedua-duanya gagal main tetapi enam markah untuk Pak Ridwan kerana postur tangan, kecepatan ayunan, warna lato-lato dan effort,” gurau seorang pelayar laman sosial.
Permainan lato-lato yang sedang popular dalam kalangan kanak-kanak dan aplikasi TikTok itu terdiri daripada dua bola berwarna terang diperbuat daripada plastik dan mempunyai tali dengan cincin kecil di bahagian tengahnya.
Dengan membuat gerakan naik dan turun, pemainan itu mempunyai matlamat untuk mendapatkan kedua-dua bola melantun antara satu sama lain, manakala lantunannya menghasilkan bunyi ‘klak’ yang berbeza.
Difahamkan, lato-lato berasal dari Amerika Syarikat (AS) dan sangat popular pada akhir 1960-an dan awal tahun 1970-an.
Popularitinya merosot apabila ada kanak-kanak dilaporkan cedera disebabkan permainan tersebut sehingga ia ditarik balik dari rak kedai mainan di AS dan Kanada. – JURNAL