Sempena Syawal tahun ini, PERKESO buat julung kalinya mempersembahkan sebuah video iklan raya bertajuk Bangkit Raya.
Mengangkat semangat kebangkitan sebagai tema, video ini membawa pelbagai nasihat yang mampu membuka mata penonton akan kepentingan perlindungan keselamatan sosial buat diri dan keluarga mereka.
Penekanan terhadap nilai tanggungjawab dan kekeluargaan disampaikan menerusi jalan cerita yang santai serta diselangi unsur komedi.
Melalui video iklan raya ini, PERKESO ingin penonton terus bersemangat, sentiasa berusaha untuk bangkit semula daripada segala kesukaran yang dihadapi.
Bangkit Raya mengisahkan semangat kebangkitan seorang pemuda yang menganggur bernama Ayie.
Dia asalnya bersikap berat tulang namun setelah kehilangan ayah tercinta, Ayie sedar akan tanggungjawab yang harus dipikul olehnya.
Oleh itu, Ayie bangkit untuk meneruskan legasi perniagaan kuih bangkit keluarga yang selama ini telah menjadi punca pendapatan utama keluarga mereka.
Video iklan raya ini bukan sekadar ingin menonjolkan semangat kekeluargaan sempena hari raya yang bakal menjelang.
Bangkit Raya mengangkat maksud bangun semula, iaitu satu istilah keramat yang boleh mengubah nasib seseorang sekiranya individu tersebut mampu mengubah cara berkifir, mengambil tindakan proaktif demi mencapai matlamat yang diingini berbekalkan sistem sokongan yang baik.
Selaras dengan tema tahun ini iaitu Tahun Kebangkitan, video iklan raya ini juga melambangkan matlamat utama PERKESO yang sentiasa bersedia dalam memberi perlindungan dan bantuan kepada pencarum untuk bangkit semula daripada sebarang musibah yang dihadapi.
Bersama-sama kita #bangkit dan kekal #Prihatin dengan PERKESO.
Video Bangkit Raya dapat ditonton di saluran YouTube serta media sosial rasmi PERKESO.