Pempengaruh dan juga usahawan terkenal, Khairul Aming telah membawa kesemua 60 pekerja kilang pemprosesan sambal miliknya untuk membeli-belah barangan dan kelengkapan raya sempena Aidilfitri kelak.
Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, Aming memaklumkan bahawa operasi di kedua-dua buah kilangnya di Kelantan telah ditutup selama sehari demi menggembirakan para kakitangannya.
“Mula-mula kami pergi beli-belah baju raya dulu. Ini memang rutin tahunan sejak bisnes saya diusahakan.
“Sebaik masing-masing habis membeli-belah, saya ajak mereka singgah ke kilang sekejap sebab ada kejutan iaitu sedikit bonus.
“Alang-alang tu, kami terus menuju ke hotel berdekatan untuk menjamu selera. Alhamdulillah, semua berjalan lancar,” ujarnya.
Tambahnya, dia juga sudah merancang untuk membawa para pekerja menikmati percutian selepas hari raya nanti.
Ternyata, perkongsian dimuat naik Aming itu mendapat reaksi positif warganet yang terinspirasi dengan kewibawaan pengasas Sambal Nyet tersebut menyantuni semua pekerjanya. – JURNAL