Pelari maraton bebas dari Malaysia, Edan Syah tampil berbeza apabila menyertai acara TCS London Marathon di London, United Kingdom memakai baju Melayu.
Acara yang berlangsung pada 23 April lalu itu turut meninggalkan kenangan manis buat Edan Syah atau Mohd Syahidan Alias kerana berjaya memecah Guinness World Records (GWR).
Edan telah memecah GWR dalam kategori Fastest Marathon in Traditional Malay Dress (Male).
Beliau telah berlari sejauh 42.2km dengan catatan masa 2 jam 49 minit 22 saat sambil memakai persalinan lengkap Baju Melayu, samping dan songkok yang direka khas oleh Bulan Bintang.
Menariknya, Edan Syah sendiri telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Bulan Bintang untuk menghasilkan persalinan tersebut, khas untuk acara TCS London Marathon yang merupakan perlumbaan jalan raya tahunan ke-2 terbesar di UK itu.
Projek khas tersebut diberi nama Bulan Bintang Road to London: Make Baju Melayu Great Again.
Menurut Mas Anneesya, ketua pereka fesyen Bulan Bintang yang menghasilkan persalinan lengkap Edan Syah, penghasilan Baju Melayu ini bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia berbeza dengan Baju Melayu yang dijual di pasaran.
Baju Melayu yang direka khas ini menggunakan fabrik jersi dan mesh kerana ia ringan, breathable, airy dan tidak membebankan. Ia adalah untuk memastikan agar atlet dapat berlari pada momentum yang stabil selain tidak menjejaskan larian beliau.
Bagi rekaan seluar, Bulan Bintang menghasilkan seluar panjang dengan poket di sebelah kiri dan kanan serta pinggang elastik kerana praktikalitinya untuk larian jarak jauh.
Invisible zip di bahagian buku lali yang ditutupi dengan kain juga direka dan diinovasi untuk mengelakkan kaki daripada lebam atau melecet selain memudahkan atlet untuk memakai kasut.
Lebih menarik lagi, reka bentuk samping bercetak yang dipakai Edan Syah mempunyai poket yang berfungsi untuk meletakkan gel tenaga untuk pelari dan botol air kecil.
Bagi rekaan songkok pula, team Bulan Bintang masih mengekalkan rupa asal songkok dengan menggunakan fabrik baldu tetapi mengubahnya dengan meletakkan panel di atas songkok berserta fabrik mesh dengan saiz lubang yang lebih besar untuk membolehkan pengudaraan yang lebih banyak.
Kejayaan Edan Syah yang berjaya menamatkan larian maraton penuh sejauh 42.2km dengan catatan masa kurang dari 3 jam serta memecah Guinness World Records dalam persalinan lengkap Baju Melayu Bulan Bintang adalah serentak dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut di seluruh dunia baru-baru ini.
Sekali gus merupakan satu pencapaian serta pengiktirafan yang membanggakan bagi jenama Bulan Bintang selain berjaya memartabatkan keindahan dan keunikan Baju Melayu di persada antarabangsa.
Ikuti @bulanbintanghq dan @edansyah di semua platform media sosial untuk lihat perkembangan dan update terkini. – JURNAL