Pendakwah popular Ebit Lew sempat menziarah ibu dan bapa empat beradik yang maut dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Sabak Awor, Muar, Johor.
Ebit menerusi perkongsian di Instagram (IG) nya berkata dia sempat melihat wajah empat beradik tersebut dan kesemuanya dalam keadaan bersih tanpa kesan terbakar.
Menurut Ebit, hanya ada sedikit kesan calar pada wajah mereka.
“Adik kecil Puteri Aisyah 8 tahun, Mohd Hakim 6 tahun, Mustakim 4 tahun, Fatihah Aisyah 3 tahun. Kecil-kecil semuanya. Melihat wajah bersih cantik semuanya.
“Saya lihat wajah anak-anak semua comel bersih. Tidak terbakar. Ada calar-calar pun sikit-sikit. Empat beradik dijumpai di bilik air. Mungkin lemas asap dan haba panas,” katanya.
Tragedi pada jam 7.49 malam itu mengorbankan Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3.
Jenazah empat beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahat jam 8.15 malam Khamis di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri.
@jurnal.malaysia Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga tabah meneruskan kehidupan🤲🏻 #jurnal #jurnalmalaysia #news #recent #current #no1 #local #trending #viral #fyp #bakar #4beradik #maut #kebakaran ♬ Tasbih Dzikir – IFTAH QULUBANA
Ebit Lew yang turut hadir semasa pengebumian jenazah empat beradik itu mengakui tidak dapat menahan sebak dan menangis semasa berada di tanah perkuburan itu.
Beliau turut sebak melihat tangisan ibu bapa mangsa sepanjang urusan pengurusan jenazah di sini.
“Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Ya Allah ampunilah sayangilah rahmatilah keluarga ini,” katanya.
Ebit Lew berkata, ibu kepada empat beradik itu berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor dan mereka adalah dari keluarga susah sehingga tidak mempunyai barangan elektrik dan televisyen.
Katanya, wanita itu memaklumkan seorang anaknya, Aisyah terlalu ingin menemuinya.
“Ibunya keluar lima minit beli barang bergesa balik lihat dah jadi begitu. Ya Allah Tuhanku sedihnya dengar,” katanya.
Ebit Lew pada masa sama merakamkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan petugas Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini yang memudahkan pengurusan jenazah keluarga berkenaan. – JURNAL