Dua pekerja sebuah kedai emas dirompak dua lelaki bertopeng yang melarikan dua beg berisi 7 kilogram emas dianggarkan bernilai RM1.8 juta dekat Jalan Pasar Rabu, pagi tadi.
Kejadian kira-kira 11.30 pagi itu berlaku di bahagian belakang kedai emas terbabit yang terletak di Jalan Undang Johol, Kuala Pilah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof mengesahkan kejadian itu dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
“Maklumat lanjut belum diperolehi daripada ketua polis daerah. Kami akan maklumkan dari masa ke semasa,” katanya. – JURNAL