Polis memburu dua lelaki yang terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai telefon bimbit dekat Sungai Besar, Sabak Bernam malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya mengesan kejadian terbabit menerusi sebuah video tular di laman Facebook memaparkan aksi tiga lelaki sedang bergelut di luar sebuah premis.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian daripada seorang penyelia kedai telefon bimbit menyatakan premis tersebut telah disamun dua lelaki dipercayai berbangsa Melayu.
“Siasatan awal mendapati kejadian pada pukul 7.30 malam itu berlaku sewaktu seorang pekerja wanita dan lelaki sedang bertugas menjaga premis.
“Seorang suspek telah masuk ke dalam premis dan berpura-pura mahu membeli telefon jenis iPhone 14 sebelum secara tiba-tiba menyerang pekerja lelaki dan merampas telefon di atas meja kaunter jualan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, pekerja tersebut bertindak mengejar suspek sehingga ke luar premis dan sekali lagi berlaku pergelutan.
Katanya, semasa di luar premis, seorang rakan suspek turut bergelut dengan pekerja sebelum kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal.
“Pekerja terbabit mengalami kecederaan dan telefon bimbit yang dirampas suspek turut tercicir di tempat kejadian,” katanya.
Agus Salim berkata, laporan polis telah diterima dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Khairul Azmani Mohd Zain di talian 0332242222. – JURNAL