Pempengaruh masakan Khairulaming, menerima teguran pakar kesihatan Dr. Rafidah Abdullah mengenai cara masakannya yang dikatakan terlebih minyak dan tidak berkhasiat.
Khairulaming menerusi hantaran di media sosial Instagram (IG)nya berkata, dia mengambil positif teguran tersebut dan menerima dengan hati terbuka.
Usahawan digital itu juga berterima kasih apabila mendapat maklum balas daripada orang ramai mengenai masakannya itu.
Beliau bersetuju apabila kesihatan perlu diutamakan dan berkongsi mengenai dua perspektif daripada dirinya sendiri yang pernah mengalami obesiti.
Berkenaan perspektif sebagai pencipta kandungan makanan, Khairulaming berkata, orang ramai bertanya mengapa bahan makanan dimasaknya tidak ditukar kepada bahan lebih sihat.
Katanya, bahan makanan memang boleh ditukar tetapi rasa masakan tidak akan sama atau sesedap seperti yang sebenarnya.
“Kalau kita hendak sambal yang sedap kita kena masak dalam minyak yang banyak supaya pecah minyak dan jika mahu ayam gorang yang rangup dan ‘juicy’ perlu goreng dalam minyak yang banyak begitu juga kalau mahu makaroni dan keju yang berkrim, tidak boleh kurangkan keju nanti tidak sedap.
“Jika kita cuba ubah resipi, memang boleh tetapi ia tidak akan sedap seperti yang sebenarnya.
“Saya juga tunjuk kenapa kena pakai berapa sudu gula, minyak semua itu sebab saya hendak beritahu yang sebenarnya inilah cara sebenar makanan disediakan di luar sana,” katanya.
Hanya tunjuk cara masakan sebenar
Jelasnya, jika tidak biasa masak dan hanya beli sahaja di kedai, tidak akan rasa bersalah sangat tetapi apabila tunjuk video masak orang akan cakap banyaknya minyak tetapi sebenarnya sama sahaja cara masak seperti di kedai makan.
“Ini kerana kita tidak sedar tetapi apabila saya tunjuk cara penyediaan sekurang-kurangnya anda semua sedar rupanya minyak dalam mi goreng dekat kedai makan banyak ini, kalau pesan teh ‘o’ ais limau pula gula banyak ini.
“Sekarang anda boleh buat pilihan sendiri ketika hendak pilih makanan. Kalau saya ubah resipi dan jadi kurang sedap orang di luar cuba dan marah saya balik.
“Saya tidak boleh ambil hati semua orang sebab dalam Malaysia ini suka atau tidak, tak semua orang sedang berdiet dan jaga badan kerana juga yang hendak makan makanan sedap sahaja,” katanya.
Khairulaming berkata, beliau hanya tunjukkan bagaimana makanan sebenar disediakan dan orang ramai boleh membuat keputusan sendiri.
Kawal sendiri jumlah makanan dimakan
“Tetapi apa lebih penting apabila makanan sudah siap, anda boleh kawal jumlah makanan untuk makan.
“Jika hendak ubah resipi, hendak kurangkan bahan atau tukar bahan, itu ikut selera masing-masing kerana apa yang penting adalah selalu jaga jumlah makanan.
“Saya berharap tiada yang gaduh-gaduh, jaga kesihatan jangan lupa bersenam dan lebih penting jaga jumlah makanan,” katanya mengakhiri videonya.
Terdahulu, Dr Rafidah menerusi ciapan terbuka di Twitter beliau, tampil menegur Khairulaming dengan menyuarakan kebimbangan tentang pemilihan juadah dikongsikan personaliti masakan itu yang disifatkan tidak sihat.
Teguran itu dibuat pada perkongsian menu puasa hari kesembilan Khairulaming iaitu sambal hijau bilis dan telur dadar.
Pakar perubatan itu juga berharap selepas ini, Khairulaming boleh berkongsikan menu masakan sihat. – JURNAL