Bekas pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan isu enggan menggunakan tema, logo Hari Kebangsaan 2023 antara blok kerajaan dan pembangkang sebagai kebudak-budakan.
KJ berkata, ia bukan isu baru sebaliknya pernah dilakukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2012.
“Ini satu lagi bukti negara kita berpecah sampai logo dan tema bulan kemerdekaan pun jadi polemik.
“Bagi saya sangat childish, bagi saya termasuk dua-dua belah pihak termasuk pentaksub dua-dua belah pihak.
“Pada tahun 2012 dah mula tema Merdeka 55 iaitu 1Malaysia Janji Ditepati dan ketika itu Pakatan Rakyat keluar dengan slogan Sebangsa, Senegara, Sejiwa.
“Dah mula la daripada situ bukan saya nak ungkit benda lama, Pas pun ada dalam tu.
“Selangor pun ada tema dan logo dia sendiri.
“Kini menteri-menteri kata cabul semangat federalisme – ‘come on’ lah dulu pun kamu buat, jadi dua-dua salah,” katanya.
Khairy berkata demikian menerusi Program Keluar Sekejap disiarkan di Youtube pada Isnin.
Khairy secara berseleroh berkata, slogan Hari Kebangsaan di Malaysia adalah sesuatu yang sangat penting.
“Kalau tak dak slogon bulan merdeka boleh ada rusuhan.
“Pakailah apa sahaja kerajaan dah putuskan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN yang dilancarkan baru-baru ini.
Tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’ dan logo dengan elemen bunga raya akan digunakan.
Cadangan Pemuda PN itu, berikutan tema Hari Kebangsaan yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ didakwa mempunyai perkataan yang diulang-ulang semasa kempen politik.
BACA: Empat Negeri PN Akan Teruskan Penggunaan Logo, Tema Hari Kebangsaan Sendiri – Fadhli Shaari
Justeru, penggunaan logo dan tema alternatif itu tercetus apabila melihat kerajaan pusat telah mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan yang secara terang-terangan berbaur politik kepartian. – JURNAL