Baru-baru ini tular satu video perkongsian seorang pemuda memaparkan riak wajah terkejut setiap adik-beradiknya sebaik membuka sampul wang pemberiannya sempena meraikan Ramadan.
Ini kerena, individu menggunakan nama TikTok @enriqueily itu menanam tekad untuk menggembirakan kesemua ahli keluarganya dengan satu kejutan yang tidak pernah diduga.
Pada awal video itu, dia meminta seorang saudara perempuannya mengira sejumlah wang kertas not RM100 yang kononnya akan digunakan untuk menanggung kos membaiki kereta.
Genap kiraan mencecah nilai RM1,000, lelaki tadi terus menyuruh wanita tersebut menyimpannya untuk diri sendiri.
Perkara itu jelas membuatkan wanita tersebut terkejut dan bertanya asbab pemuda berkenaan memberikan wang yang banyak kepadanya.
“Ambillah, duit bonus. Aku kan orang kaya baharu. Lagipun, inikan bulan Ramadan,” jawabnya ringkas.
Hal yang sama turut dilakukan kepada tiga lagi adik-beradiknya yang ternyata memperlihatkan reaksi sama sejurus memperoleh wang sebanyak itu.
Malah, salah seorangnya bertanya sama ada dia ada melabur dalam perusahaan saham gara-gara berkemampuan memberikan mereka wang RM1,000 setiap seorang.
Pun begitu, mereka berterima kasih atas pemberian tersebut, bahkan mendoakan agar pemuda terbabit sentiasa dimurahkan rezeki.
Video ini telah dimuat naik oleh @enriqueily pada awal Ramadan lalu di TikTok, namun minggu lepas ia tular semula di Twitter. – JURNAL