Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan beg fail warna hitam bermotifkan corak ‘Arabesque’ untuk membawa dokumen Belanjawan 2024 yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
Beg itu adalah hasil buatan tangan sepenuhnya oleh pengusaha batik tempatan berasal dari Kelantan, Khairul Aznan, yang meneruskan legasi batik tiga generasi keluarganya.
Anwar, yang memakai sepersalinan baju Melayu berwarna ungu tiba pada jam 4 petang diiringi oleh dua Timbalan Menteri Kewangan iaitu Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong.
Ahli Parlimen Tambun itu turut beramah mesra bersama media sebelum membentangkan Belanjawan 2024.
Pembentangan belanjawan kali ini bertemakan ‘Belanjawan 2024: Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ dan ia pembentangan kedua oleh Anwar. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE