Selepas tular mengenai seorang penunggang p-hailing yang berjalan kaki selepas motosikalnya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini, pempengaruh media sosial popular, Aisar Khaled turut menjadi bualan.
Semalam, Aisar berpeluang bertemu penunggang p-hailing dikenali sebagai Muhammad Shahrul Shah dan menghadiahkannya sebuah motosikal baru.
Memuat naik momen tersebut di laman sosial Instagramnya, Aisar telah menerima pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial.
Ada yang memuji Aisar kerana pantas bertindak dan membantu Muhammad Shahrul, namun ada juga yang mempertikaikan pertolongan dihulur.
Di ruangan komen, ada wargamaya berpendapat, lebih baik Aisar memperharui cukai jalan dan insuran Muhammad Shahrul, daripada membelikannya sebuah motosikal baru.
Ada juga yang mendakwa Aisar hanya mahu menunggang isu dan menghasilkan content semata-mata, selain menunjuk-nunjuk.
Sementara itu, Muhammad Shahrul berkata, dia tidak sangka kisahnya itu akan tular sehingga mendapat perhatian ramai.
Lebih membuatkan bapa dua anak itu terharu apabila pempengaruh, Aisar Khaledd sudi membelikan motosikal baru buatnya sebagai ganti.
“Memang terkejut apabila bangun tidur dapat banyak mesej beritahu kisah saya sudah tular.
“Dalam jam 9 atau 10 pagi tadi, saya dapat panggilan pula daripada wakil Aisar Khaledd menyatakan berhasrat menyumbang motosikal.
“Syukur Alhamdulillah, saya anggap pemberian itu sebagai rezeki dan terima seadanya walaupun ikutkan, saya boleh pinjam kenderaan ahli keluarga buat sementara waktu.
“Tak sangka sampai jadi begini dan terima kasih kepada semua netizen serta rakyat Malaysia yang mendoakan,” katanya.
BACA: [V] Motosikal Ditahan JPJ, Penghantar Makanan Balik Jalan Kaki
BACA: Tiada Lesen, Insurans Punca Motosikal Penghantar Makanan Disita JPJ
BACA: “Netizen Kata Saya Berjalan Sejauh 4 km Tanpa Arah, Itu Tak Benar…” – Penunggang P-Hailing
Menurut Muhammad Shahrul Shah, ujian itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus mencari rezeki sebagai penunggang p-hailing.
“Sebenarnya, saya ada kerja hakiki cuma cari rezeki sebagai penunggang p-hailing sejak lebih setahun lalu untuk menambah pendapatan.
“Apa yang berlaku tidak melemahkan semangat saya hingga terfikir nak berhenti kerana buat masa ini, kerja hantar makanan adalah sumber mata pencarian saya bagi menambah pendapatan,” katanya. – JURNAL