Ibu malang dikenali sebagai Asha Rosli yang kehilangan bayinya, Qaseh Aulia Faizul, baru berusia 2 bulan, menceritakan kronologi insiden menyayat hati yang meragut nyawa puteri keduanya itu.
Asha Rosli berkata, kejadian meragut nyawa tersebut berlaku pada hari kedua Qaseh Aulia dihantar ke rumah pengasuh.
Menurut Asha, pada 10 Oktober lalu Qaseh Aulia dihantar ke rumah pengasuh dalam keadaan sihat dan ceria.
Bagaimanapun, keadaan tersebut hanya selama empat jam kerana Qaseh Aulia akhirnya bertemu sang pencipta.
Asha mendedahkan, rekod menerusi rakaman litar tertutup memaparkan bayi yang baru berusia dua bulan itu diletakkan dalam posisi meniarap selama satu jam tanpa pengawasan.
Punca kematian adalah disebabkan kesukaran bernafas (lemas).
Perkongsian Asha itu mengundang simpati warganet yang rata-rata mahukan hukuman setimpal dikenakan kepada pengasuh yang cuai dan mengabaikan Qaseh Aulia.
Sementara itu, media melaporkan pengasuh Qaseh Aulia sudah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita berusia 40-an ditahan selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Katanya, pengasuh warga asing yang berkahwin dengan warga tempatan itu dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
“Kita masih menunggu laporan penuh hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap bayi berkenaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut. – JURNAL