“Anwar Ibrahim ‘mendonia!” Demikianlah reaksi netizen selepas nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan soalan dalam program candawara Who Wants To Be A Millionaire India baru-baru ini.
Sedutan rakaman berdurasi 45 saat daripada program tersebut yang dihoskan pelakon legenda Bollywood iaitu Amitabh Bachchan menjadi tular di media sosial sejak malam tadi.
Dapat disaksikan menerusi klip tersebut, Amitabh telah bertanyakan soalan kepada peserta yang menyertai program itu bagi merebut peluang wang tunai berjumlah RM35,000 (US$8,000).
“Negara manakah yang telah memilih Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada tahun 2022?” memetik soalan diajukan.
Lebih mengagumkan dan membanggakan, peserta berkenaan secara tenang memilih Malaysia sebagai jawapan disertakan penghuraian mengenai situasi politik dunia yang berlaku baru-baru ini.
Tinjauan di platform TikTok mendapati, rata-rata yang berkongsi video tersebut meluahkan rasa bangga dan teruja apabila perkembangan politik Malaysia mendapat perhatian negara lain.
“Terus masuk kategori soalan pengetahuan am. Maksudnya berita fasal PMX (Perdana Menteri ke-10) satu dunia baca. Hebat!
“Harum nama Malaysia, kuat pengaruh DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim)!
“Wow, soalan ini bernilai AS$8,000 ya! Bukan biasa-biasa!
“PMX dalam Who Wants To Be A Millionaire India lah! Mendonia!” memetik beberapa reaksi ditunjukkan warganet. – JURNAL