Pada Ahad lalu tular sebuah video seorang wanita menahan sebuah kenderaan di sebuah persimpangan lampu isyarat.
Difahamkan, aksi berbahaya tersebut berlaku di Port Dickson dan didapati membahayakan dirinya dan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Susulan daripada video tular tersebut,
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superitendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihak polis masih belum menerima apa-apa laporan polis yang dibuat daripada individu berkenaan berhubung dengan insiden yang berlaku.
“Pihak polis Port Dickson terkesan satu video memaparkan seorang wanita menghalang sebuah kereta jenis Proton Wira yang sedang bergerak semasa di sebuah lampu isyarat pada pukul 9.43 pagi Ahad.
“Video berdurasi 33 saat dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @bckupacc99.
“Sehubungan itu mereka yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya lagi, kejadian itu berlaku di persimpangan lampu Isyarat Batu 1, Port Dickson.
“Perbuatan dan tingkah laku yang dilakukan oleh wanita tersebut boleh membahayakan diri sendiri serta mendatangkan kerisauan terhadap orang awam,” katanya.
Mustafah turut menasihatkan orang awam supaya tidak menularkan video berkenaan yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan menggugat ketenteraman awam.
“Penyebaran sedemikian adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – JURNAL