Seorang anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Leo Sana Anak Sandi, tidak menyangka videonya menyelamatkan seekor anjing menjadi tular.
Leo berkata, dia mengetahui video berkenaan tular selepas menerima banyak tag daripada kenalan di laman Facebook.
“Ini bukan kali pertama saya dan pasukan selamatkan anjing, tetapi tidak sangka pula video berkenaan tular mungkin kerana melihat telatah haiwan itu yang lucu,” katanya.
Terdahulu Leo berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.02 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama 10 anggota.
Katanya, setiba di lokasi, dia difahamkan oleh penduduk bahawa anjing berkenaan berada di beranda tingkat 10 pangsapuri itu sejak pagi.
“Pada mulanya anjing berkenaan bertindak agresif mungkin kerana takut dan saya berusaha mendekatinya perlahan-lahan.
“Memandangkan ia sudah berada di situ dalam tempoh lama, saya kemudian meminta ihsan sedikit makanan daripada penduduk untuk diberi kepadanya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
@tvstvmy Lucu! Telatah/gelagat anjing yang dikatakan sedang merajuk dan seorang anggota bomba yang mencuba untuk memujuk anjing itu demi menyelamatkannya daripada terjatuh beranda bangunan tinggi. 📹 JBPM #TVS122 #TVSNews ♬ Curiosity – Danilo Stankovic
Mengulas lanjut Leo berkata, ketika dia menghulur makanan, anjing terbabit kembali bertenang namun mengalih pandangan ke arah dinding seolah-olah sedang merajuk.
Katanya, dia juga tersenyum melihat gelagat anjing itu namun berusaha menyelamatkannya kerana bimbang ia akan kembali agresif.
“Saya dan seorang lagi anggota pasukan kemudian menutup mata anjing menggunakan guni dan kain sebelum mengangkat haiwan itu.
“Difahamkan, haiwan itu anjing liar dan berkeliaran di kawasan itu.
“Sebaik menurunkannya ke aras bawah, anjing berkenaan dilepaskan dan tidak pasti bagaimana ia boleh naik ke tingkat 10 bangunan berkenaan,” katanya.
Itu kata anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Leo Sana Anak Sandi berikutan video bersama pasukannya menyelamatkan anjing di sebuah pangsapuri pada Rabu lalu, menjadi tular sejak semalam.
Terdahulu, beberapa video mengenai operasi menyelamatkan anjing itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi warganet yang terhibur dengan gelagat haiwan berkenaan.
Video itu turut dikongsi laman Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dengan keterangan ‘Bukan senang nak (hendak) pujuk ni. Abang bomba juga la yang kena (perlu) bagi ayat manis’. – JURNAL
Sumber: Harian Metro