Walau digenggam kuat, andai bukan milik kita, ia tetap akan terlepas jua. Walau ditolak ke tepi, andai kepunyaan kita, ia mendatang jua.
Di Indonesia, seorang gadis berasa seolah-olah dikhinati apabila teman lelakinya `dirampas’ kakak kandung sendiri.
Menerusi rakaman dimuat naik, individu bernama Khaira itu hanya mampu memendam duka saat menghadiri majlis persandingan kakak bersama bekas kekasihnya.
Bukan tidak percaya soal jodoh, sebaliknya dia kecewa apabila tiada seorang pun ahli keluarga yang fikir tentang perasaannya tatkala melihat bekas teman lelaki bersanding dengan wanita lain di atas pelamin, apatah lagi darah daging sendiri.
Sehingga kini, Khaira masih belum dapat ikhlaskan dirinya untuk terima takdir tersebut.
Masakan tidak, 10 tahun menjalin hubungan dengan lelaki terbabit, penghujungnya jodoh milik kakaknya pula.
Bahkan jikalau boleh, dia mahu lari jauh meninggalkan seluruh keluarga untuk merawat hatinya yang luka.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen juga akui sukar untuk menerima kenyataan sebegitu seandainya terjadi dalam keluarga sendiri.
Dalam waktu sama, mereka mendoakan Khaira agar tabah berdepan ujian dilaluinya itu. – JURNAL