Satelit penderiaan jauh UzmaSAT-1, keluaran syarikat tempatan Uzma Berhad, telah berjaya dilancarkan ke orbit rendah bumi awal pagi tadi menggunakan roket Falcon 9 Transporter 12 milik SpaceX. Pelancaran tersebut berlangsung pada jam 3 pagi waktu Malaysia dari Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikat.
Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), UzmaSAT-1 kini menjadi satelit ke-13 di bawah pengawasan Malaysia. Kejayaan ini merupakan satu lagi bukti kejayaan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030), yang diterajui oleh MOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Impian Teknologi Angkasa Negara
Satelit seberat 45.4 kilogram ini dijangka menyediakan data beresolusi tinggi untuk meningkatkan operasi pemantauan seperti pengurusan sekuriti makanan, keselamatan, dan pertahanan negara. Selain itu, kerjasama strategik dalam pengoperasian satelit ini juga akan mengoptimumkan pengurusan imej bumi untuk kepentingan Malaysia.
MOSTI turut menekankan kepentingan teknologi angkasa dalam pembangunan ekonomi baharu negara.
“Kejayaan pelancaran dan pengoperasian UzmaSAT-1 ini menunjukkan penyertaan aktif industri tempatan dalam sektor angkasa yang mampu menjimatkan kos, meningkatkan daya saing, dan mendorong inovasi berterusan,” ujar MOSTI.
Pemangkin Ekosistem Angkasa Negara
Selaras dengan Pelan Tindakan DAN2030 dan Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030), kejayaan ini dijangka memperkukuhkan keupayaan tempatan dalam teknologi angkasa. MOSTI optimis bahawa usaha ini mampu mengubah Malaysia daripada sekadar pengguna kepada pencipta teknologi angkasa.
Majlis pelancaran UzmaSAT-1 turut dipancarkan secara langsung di Ibu Pejabat Uzma Berhad, Kuala Lumpur, dan Ibu Pejabat MYSA, menandakan sokongan kukuh kerajaan dan rakyat terhadap pencapaian penting ini. – JURNAL