Akibat enggan masak untuk juadah sahur, seorang suami tergamak menetak isterinya hingga mati.
Mangsa berusia 30 tahun maut dengan kesan tetakan di seluruh badan, gara-gara perbuatan suaminya.
Ketua Polis Daerah Pesawaran, AKBP Pratomo Widodo berkata, kejadian berlaku di Desa Trirahayu, Kabupaten Negeri Katon di Indonesia, pada awal pagi Isnin.
“Suspek yang juga suami mangsa berusia 32 tahun dikatakan mengamuk kerana mangsa enggan memasak untuk sahur,” kata Pratomo.
Pada mulanya, suspek baru menyembelih ayam dan meminta si isteri memasak untuknya, namun mangsa menolak permintaan itu kerana keletihan.
“Mangsa mengatakan dirinya penat dan menolak permintaan suspek, lantas membuatkannya berang,” kata Pratomo.
Menurut Pratomo, suspek kemudian mengejar mangsa hingga ke halaman rumah dan menetaknya berulang kali menggunakan parang.
Tambah beliau lagi, mangsa mengalami kesan tetakan di dahi, lengan dan belakang kepala.
“Kita telah menahan suspek,” ujar Pratomo. – JURNAL
Sumber: KOMPAS