Keadaan di Korea Selatan kini kembali pulih sepenuhnya selepas penguatkuasaan undang-undang tentera ditarik balik secara rasmi pada pukul 4.30 pagi waktu tempatan, dalam satu mesyuarat Kabinet.
Undang-undang itu sebelum ini diisytiharkan oleh Presiden Yoon pada lewat Selasa, dengan matlamat menghapuskan pihak ‘antipemerintah’ yang didakwanya menyokong pasukan komunis Korea Utara. Namun, keputusan tersebut mencetuskan kontroversi apabila Speaker Dewan Negara, Woon Won Shik mengisytiharkan undang-undang itu sebagai ‘tidak sah’ kurang tiga jam selepas ia diumumkan.
Tindakan Presiden Yoon turut menerima kritikan hebat daripada pihak pembangkang.
“Ini adalah langkah melulu dan tidak masuk akal,” tegas Kim Byung Joo, penggubal undang-undang Parti Demokratik.
Ketua Parti Demokratik, Lee Jae-myung pula berkata, pihaknya akan terus berada di dewan parlimen sehingga keadaan darurat itu ditarik balik sepenuhnya.
Dalam perkembangan terkini, Kementerian Luar Negeri Malaysia menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Korea Selatan agar terus mengambil langkah keselamatan biasa dan mengikuti panduan pihak berkuasa tempatan.
“Sebagai langkah proaktif, rakyat Malaysia disarankan untuk mendaftar kehadiran mereka melalui sistem E-Konsular bagi memudahkan pemberian bantuan sekiranya diperlukan,” kata kenyataan itu.
Sebarang keperluan kecemasan boleh dilaporkan kepada Kedutaan Malaysia di Seoul melalui talian +82-2-2077 8600 atau e-mel di mwseoul@kln.gov.my. – JURNAL