Putera Harry percaya dia dipaksa meninggalkan United Kingdom (UK) dan merasakan dirinya dan keluarga tidak akan berasa selamat ketika berada negara kelahirannya itu tanpa kawalan keselamatan yang ketat.
Putera Diraja Britain itu sebelum ini melepaskan jawatan kehormat tentera dan hak keistimewaannya selepas mengesahkan kepada Ratu Elizabeth II bahawa beliau dan isterinya, Meghan Markle tidak akan kembali sebagai anggota Diraja yang bekerja pada 2020.
Mereka berpindah dan kini menetap di California.
Beliau membawa kes terhadap kerajaan British ke Mahkamah Tinggi di London selepas perlindungannya yang dibiayai oleh pembayar cukai UK tidak lagi dibenarkan.
Perbicaraan berlangsung sejak Selasa, dengan hanya sesi pembukaan dan penutupan dibuka kepada media dan orang ramai atas sebab keselamatan.
Pada hari Khamis, peguamnya Shaheed Fatima membacakan kenyataan bertulisnya kepada mahkamah, yang berkata: “Dengan rasa sedih bagi kami berdua, saya dan isteri terpaksa berundur daripada peranan ini dan meninggalkan negara pada 2020.
“UK adalah rumah saya. UK adalah pusat kepada warisan anak-anak saya dan tempat yang saya mahu mereka berasa seperti di rumah sama seperti tempat mereka tinggal pada masa ini di AS.
“Itu tidak boleh berlaku jika tidak mungkin untuk memastikan mereka selamat apabila mereka berada di tanah UK.
“Saya tidak boleh meletakkan isteri saya dalam bahaya seperti itu, dan berdasarkan pengalaman saya dalam hidup, saya enggan meletakkan diri saya dalam bahaya juga,” katanya.
Peguam Harry berhujah bahawa keputusan untuk menukar pengaturan keselamatannya berikutan Harry enggan berkhidmat adalah melanggar undang-undang dan tidak adil memandangkan status dirajanya dan kematian ibunya Puteri Diana.
James Eadie yang mewakili kementerian dalam negeri, memberitahu mahkamah bahawa ia memutuskan Harry tidak akan diberikan tahap perlindungan yang sama seperti sebelum ini kerana beliau meninggalkan keluarga diraja dan kebanyakannya tinggal di luar negara.
Pada Mei, Harry kalah dalam permohonan semakan undang-undang terhadap keputusan kerajaan yang menolak kebenarannya untuk membayar sendiri perlindungan polis UK.
Kementerian Dalam Negeri berhujah bahawa adalah tidak sesuai untuk orang kaya “membeli” keselamatan perlindungan.
Menurutnya, ia sudah memutuskan bahawa ia bukan untuk kepentingan awam bagi perlindungan yang dibiayai oleh pembayar cukai.
Polis Metropolitan London juga menentang tawaran Harry atas alasan bahawa adalah salah untuk “menempatkan pegawai dalam bahaya apabila membayar yuran oleh individu persendirian.” – JURNAL
Kredit: Harian Metro