Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) memperkukuh kerjasama dengan KRU Masterclass bagi memberi nilai tambah kepada pelajar untuk mengharungi era digital masa kini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Masterclass, Datuk Norman Abdul Halim berkata program usahasama itu bukan saja soal perkongsian ilmu malah ia dapat menjana hasil bersama UCMI antaranya melibatkan penggunaan premis untuk menjalankan latihan.
“Kerjasama ini akan memberi nafas baharu kepada program yang akan terlibat dan memberi impak besar kepada graduan dalam memenuhi kehendak pasaran pekerja dalam pelbagai industri juga golongan lain yang memerlukan.
“Kita berbesar hati untuk bekerjasama dalam pertukaran kepakaran, konsultansi dan penyelidikan khusus melibatkan bidang kreatif kepada graduan UCMI di samping mewujudkan pencipta pekerjaan kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UCMI Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata kerjasama itu merupakan tanda komitmen UCMI dalam membantu para pelajar serta golongan yang memerlukan dengan nilai tambah iaitu ilmu digital dan kemahiran interpersonal seiring dengan perkembangan arus perdana.
“Melihat kepada konsep Malaysia Madani, ia menekankan soal pembangunan nilai masyarakat bertamadun seperti para pelajar kami yang terdiri daripada kalangan B40, asnaf dan penerima Baitulmal.
“Ekosistem Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui UCMI mampu beri nilai tambah yang diterjemahkan dalam bentuk persijilan menerusi program hasil kerjasama bersama KRU Masterclass yang akan membantu lebih ramai mahasiswa,” katanya menerusi sebuah kenyataan.
Wan Mohd Azizi berkata kandungan perjanjian antara dua pihak itu turut menawarkan latihan industri kepada pelajar UCMI yang memenuhi syarat dan skop kerja yang ditawarkan khususnya program di Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan (FPPK).
Terdahulu Yayasan KRU dan Universiti Multimedia (MMU) telah menandatangani Memorundum Persefahaman (MoU) dalam usaha membangunkan bakat-bakat baharu bagi menghiasi industri keusahawanan digital dan kandungan kreatif. – JURNAL